Saturday, 5 January 2013

Kerana Dia Seorang Ayah

assalamualaikum..

Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, "Pakcik, laptop..." - dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai. Aku menyambung lagi, "Nak beli untuk anak ke?", "Ya, nak beli untuk anak - dia nak sambung belajar - laptop yang mana yang ok?". Aku mempromosi barang seperti biasa - aku biasanya mengsyorkan yang paling murah. "Kalau nak yang bagus mahal pakcik - tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung - seribu seratus lebih je...". Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut "Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni..." - pergi dengan suatu perasaan yang lain.

Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja, kebetulan - aku duduk di kaunter menunggu pelanggan - dia datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya - perempuan. "Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?", "Yang nie Samsung haritu, tapi yang nie stok baru - harga sama je", aku menyambut soalan nya. Dia bertanya kepada anaknya, "Yang nie ok ke dik?" - "Ermmm, ok ke nie murah je - karang rosak karang susah..." jawabnya dengan muka yang kurang puas hati - anaknya seperti menginginkan yang lain yang lebih mahal. "Yang acer nie x boleh ke ayah?", ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, "Yang acer nie berapa boleh murah lagi?" - "Yang tu tak dapat dah pakcik,... Dah harga kos dah tu..." aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, "Dik, nak laptop untuk belajar kan... Rasanya kalau untuk belajar - yang nie lebih dari cukup - rosak tak payah pikir sangat - warenti setahun.". Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya.

"Oklah, yang ini." jawab anaknya. Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja 'display' - aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar - aku nampak dompetnya kosong - habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula - dia melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira - wang aku masukkan dalam cash drawer, "Cukup duit tadi dik?" - "Cukup, Terima Kasih ya...". Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan - RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya - penuh harapan.

Aku geram kepada anaknya - seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana - hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekeping duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu 'mengais' untuk hari esoknya.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin...

No comments:

Post a Comment